Thursday, November 15, 2018

7 Ciri Ibu Bapa Yang Disenangi Pengasuh

Sebelum menjalankan operasi taska institusi saya pernah menjadi pengasuh di rumah. Pada masa itu bilangan kanak-kanak yang saya asuh tak ramai. Kanak-kanak yang diasuh pun terhad kepada anak-anak jiran setaman.

Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang usahawan, bekerja sendiri sangat mencabar bagi saya. Bayangkan selama ini saya hanya bekerja makan gaji. Apa yang saya tahu setiap bulan gaji masuk dalam akaun. Saya tidak perlu buat sales atau memperkenalkan produk kepada umum.

Bayangkanlah apabila tiba-tiba dunia saya bertukar 360 darjah sebaik sahaja mengambil keputusan hendak menceburi bidang ini.

Menjaga kanak-kanak mungkin perkara susah bagi orang lain. Tapi ada lagi perkara yang lebih susah bagi saya. Saya tidak tahu berapa hendak menetapkan harga servis kepada ibu bapa. Pernah satu ketika saya minta ibu bapa sendiri yang  tetapkan harga servis yang saya tawarkan pada mereka.

Naif betul masa tu...

Saya kira itu dilema biasa bagi pengasuh yang baru hendak bermula. Tapi sepanjang menjadi pengasuh di rumah pengalaman banyak mengajar saya mengenali sikap ibu bapa.

Jadi hari ini saya senaraikan 7 ciri yang ibu bapa kena ada untuk disenangi pengasuh. Antaranya;

1. Bayar Yuran Awal Bulan.
Selalu kita tengok pengasuh di rumah akan dibayar upah mereka pada akhir bulan. Maknanya pengasuh kena jaga dahulu sampai akhir bulan baru dapat upah. Apa kata ibu bapa bayar awal sebelum dapat perkhidmatan mereka. Tentu pengasuh rumah lebih ceria dan bersemangat nak menjaga anak kita. Upah yang dibayar awal akan memberi rasa tanggungjawab kepada pengasuh untuk menggalas amanah yang diberikan. Lagipun bukankah nabi kita ada mengajar bayarlah upah kepada pekerjamu sebelum kering keringat mereka. 

2. Bayar Yuran Tepat Pada Masanya
Jika ibu bapa tak mahu bayar awal pun tak menjadi masalah. Tapi kenalah tepati bila tarikh bayaran sepatutnya dibuat setiap bulan. Jika berjanji paling lewat 7 haribulan jangan pula lajak sampai tengah bulan. Pengasuh pun ada keperluan asasi yang mereka perlu penuhi. Jika ibu bapa lajak sampai tengah bulan bayangkanlah bagaimana mereka nak teruskan kehidupan. Terkulat-kulat memandang orang lain membeli itu ini. Anak-anak mereka pun dah minta macam-macam.

3. Bayar Yuran Penuh.
Kadang-kadang dalam satu bulan ada cuti umum berderet. Kadang-kadang emak abah kita dari kampung datang duduk rumah sampai dua minggu. Jadi kasihan pula nak hantar cucu itu ke rumah pengasuh. Walaupun anak kita tak datang penuh cubalah empati pada pengasuh dengan membayar penuh kepada mereka. Tak perlulah berkira sangat. Sampai nak tolak gaji mereka ikut hari. Kita pun kalau cuti tak datang kerja bos bayar penuh,kan?

4. Beri Hadiah Walaupun Tak Diminta
Sesekali apa salahnya bagi hadiah kepada pengasuh yang jaga anak kita. Contohnya hari raya. Hulurkanlah kain pasang ke, telekung ke, tudung atau sebalang kuih raya untuk mereka. Nak bagi duit raya pun tak salah. Bukan selalu pun dapat buat begitu. Paling tidak setahun sekali. Tengoklah betapa gembiranya mereka jika dapat hadiah yang tak disangka daripada kita.

5. Tidak Cerewet
Sebagai ibu bapa kita memang selalu mahukan anak kita dapat depenuh perhatian daripada pengasuh. Lebih-lebih lagi jika itu anak kita yang pertama. Kalau boleh semua nak tip top sampaikan tak boleh ada satu nyamuk pun gigit anak kita. Tapi kita perlu ingat rumah pengasuh adalah rumah pengasuh. Mereka ada peraturan di rumah mereka sendiri. Tak perlulah peraturan di rumah kita sampai hendak di bawa masuk ke rumah pengasuh. Letih pula pengasuh tu nanti...

6. Bayar Duit Lebih  Masa.
Kebiasaanya jika mengasuh anak di rumah pengasuh ibu bapa akan bayar jumlah lump sum. Tak kiralah jika ambil anak lewat ke, hantar anak hari Sabtu atau Ahad. Semuanya bayar macam biasa. Apa kata selepas ini jika pengasuh tak tetapkan jumlah lebih masa anak berapa. Ibu bapa sendiri yang tambahkan bayaran tersebut untuk pengasuh. Bukan apa, kadang-kadang memang ada pengasuh yang malu hendak cakap/ minta. Padahal bayaran lebih masa itu memang hak mereka.

7. Mudah Memberi Kerjasama
Pengasuh pun ada masa-masanya mereka jatuh sakit. Mereka perlukan cuti daripada mengasuh anak kita. Jika kita nampak pengasuh tidak larat tanyakan tahap kesihatan mereka. Jika mereka tak mampu nak jaga anak kita hari itu tawarkan diri kita sendiri untuk jaga anak kita. Biarkan pengasuh berehat secukupnya di rumah. Kadang-kadang mereka pun mahu pergi ke mana-mana bersama keluarga. Kalau dapat mereka bagitahu awal pun bagus dapatlah kita siap-siap minta cuti di pejabat. Begitu juga jika pengasuh terpaksa cuti kerana ada kecemasan.

Diharapkan dengan perkongsian ini ibu bapa lebih peka dan tak ambil enteng perkara ini walaupun nampak remeh. Siapa tahu dengan keprihatinan kita terhadap kebajikan mereka anak-anak kita akan dijaga dengan lebih baik.

Suhana Salleh
Pernah jadi pengasuh di rumah.

Wednesday, November 14, 2018

Apa Tindakan Yang Perlu Diambil Oleh Mangsa Buli

Dia kata hari tu ibu tak payah datang. Lagi 3 minggu dah nak balik rumah cuti akhir tahun.

Minggu lepas dia call saya. Suaranya sebek.

Saya tanya kenapa?

Kata dia, tak ada apa-apa. Tapi saya tahu dia tengah tahan air mata sebab ada bunyi sedut hingus.

Pelik. Kalau tak ada apa kenapa dia nak sedih?

Tiba-tiba dia ajak saya outing minggu depan.

Saya tanya nak buat apa?

"Saja. Nak beli pen." 

Saya tahu dia cuma bagi alasan. Setakat outing nak beli pen sebatang lebih baik tak payah suruh saya datang. Outinglah dengan kawan-kawan. Kalau malas sangat, kirim saja pada kawan lain cadang saya kepadanya.

Tapi dia bersungguh ajak saya outing minggu depan. Alasannya nak keluar makan sama. "Dah lama abang tak makan dengan ibu."

Tak sedap hati, saya ajak suami tengok keadaan dia di sana minggu berikutnya. Bila sampai sana baru tahu kenapa dia sedih. Patutlah... beberapa kali kena suruh basuh baju dengan senior rupanya.

Saya tahu dia tertekan.

Jadi saya berikan beberapa langkah solusi kepadanya.

1. Elakkan diri dari bertembung dengan senior itu.
Dia kata ok. Senior tu tak suruh dia cucikan baju dah. Tapi lepas dua tiga minggu senior tu panggil dia balik. Senior tu suruh kawan sebilik dengan dia panggilkan.

2. Catat tarikh dan masa setiap kali kejadian.
Buat catatan ringkas setiap kali senior tu suruh dia basuh baju. Tujuannya sebagai bahan bukti jika ada kes berbangkit. Kedua kita boleh kaji trend si pembuli. Hari apa dia akan suruh cuci baju. Waktu-waktu tu boleh lari ke tempat yang lebih selamat.

3. Cuci ala kadar.
Masa basuh tak payahlah sental bersungguh. Celup-celup sudah. Tak payah pakai sabun. Bilas sikit-sikit. Cukup. Kalau senior tu tengok baju dia tak bersih dah tentu dia tak akan suruh budak yang sama cuci. Tak pun hantar sahaja ke dobi asrama. (Asrama sudah sediakan perkhidmatan dobi untuk semua pelajar).

4. Lengah-lengahkan masa.
Kalau senior itu suruh cuci baju dia sewaktu hari cuti. Cucikan baju dia waktu tengah malam. Esoknya nak sekolah baru si pembuli gelabah tengok baju masih bersidai di ampaian. Kalau dia nak belasah lantak. Itu pentingnya tindakan nombor 2.

5. Beri amaran pada senior itu.
Jadi orang janganlah lurus sangat. Berani sikit. Benda yang tak sepatutnya dibuat kena tegur. Cakap dengan senior tu ini last basuh. Lepas ini kalau dia suruh basuh lagi memang taklah. Ugut sikit. Cakap perbuatan dia ini akan dimaklumkan kepada cikgu atau mak ayah.

6. Maklumkan pada cikgu.
Kalau dah melampau sangat tiap minggu nak suruh basuh sampai buat emosi sendiri tertekan. Bagitahu saja pada cikgu homeroom (mak angkat kat sekolah). Biar cikgu ambil tindakan yang sewajarnya.

7. Ibu bapa sendiri yang akan ambil tindakan.
Kalau takut nak bagitau homeroom biar ibu sendiri yang bagitau hal tersebut kepada cikgu homeroom dia. Tahulah ibu nak ikut prosedur yang sepatutnya. Ibu bukan jenis meroyan tak tentu pasal.

Sebagai ibu bapa jangan pandang remeh aduan anak. Dengar dan siasat. Ada benda yang kita boleh diabaikan. Ada benda yang kita perlu beri perhatian. Ada benda yang perlu tindakan dan sokongan. Ingat jangan sampai pembuli besar kepala. Anak kita pula yang jadi mangsa. Ajar mangsa buli untuk berani bertindak dengan betul.

Sebenarnya ini catatan saya setahun yang lepas. Alhamdulilah sekarang senior itu dah tak suruh dia cuci baju lagi. Hubungannya dengan senior itu pun dah baik. Boleh angkat-angkat tangan apabila terserempak. Saya syak senior tu memang saja acah-acah hendak tunjuk power dengan junior. Nasib baik sampai langkah 3 masalah selesai.

Case closed!

Anak Saya Serasi Ke Di sini?

"Puan, saya tak pernah hantar anak dekat taska. Macam mana nak tahu anak saya ok ke tidak dekat sini?" 

Saya selalu dapat soalan begini daripada ibu bapa/penjaga yang pertama kali nak menghantar anak mereka ke taska saya.

Pada saya nak tahu anak serasi atau tidak di tempat asuhan yang baru mudah sahaja. Lihat tidur malamnya bagaimana.

Antara soalan biasa atau soalan wajib yang saya tanyakan kepada ibu bapa yang baru hantar anaknya ke taska saya. "Malam tadi anak boleh tidur tak?"

Jika ibu bapa bagitahu anak mereka tidur lena malam tadi sampai tak sedar nak minum susu (ini jawapan bonus). Maksudnya kanak-kanak itu memang serasi di tempat barunya. Jika jawapan yang diberi sebaliknya. Keadaan ini memberi petanda yang anak itu masih tak dapat sesuaikan dirinya di tempat baru. Bagi saya ini adalah petanda awal sesuatu yang perlu diambil perhatian sama ada saya sendiri sebagai pengusaha taska atau ibu bapa khususnya.

Saya memang memberi tempoh percubaan kepada kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya. Tempoh percubaan di taska saya paling cepat dua minggu. Paling lama sebulan.

Apa yang saya buat semasa tempoh percubaan?
1. Membiarkan kanak-kanak mengeksplorasi tempat baru.
Kanak-kanak tak terikat dengan Jadual Waktu Taska. Mereka bebas mengeksplorasi kawasan persekitaran dan ruang yang ada. Saya kenalkan mereka ruang penting yang ada di taska. Misalnya ruang aktiviti, ruang untuk tidur, tandas, taman luar, tangga hatta dapur. Kanak-kanak akan diingatkan agar tidak memasuki kawasan bahaya seperti dapur dan tandas tanpa pengawasan orang dewasa. 

2. Berkenalan dengan kanak-kanak yang lebih senior.
Kanak-kanak bebas berkenal-kenalan dengan kawan-kawan taska sedia ada. Saya galakkan kanak -kanak yang lebih senior ajak dia bermain bersama-sama. Saya akan suruh mereka pujuk kawan barunya jika dia menangis atau sedih. Dari sini kanak-kanak baru tadi akan belajar menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang lain.

3. Pilih nak ikut pengasuh yang mana.
Tempat baru, persekitaran baru dan kawan-kawan baru jika tak ditangani boleh mendatangkan stres pada kanak-kanak. Saya lebih suka membiarkan kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya pilih nak ikut pengasuh mana yang dia rasa selesa. Di taska saya mengaplikasikan jagaan bergilir untuk pengasuh. Maknanya pengasuh tidak akan mengasuh kanak-kanak yang sama setiap minggu. Namun, imuniti yang diberi dalam tempoh percubaan kanak-kanak ini dibenarkan nak ikut pengasuh yang dia suka. Tujuannya untuk membina hubungan dan keyakinan awal dengan orang dewasa yang baru dikenalinya. 

Jika kesemua aspek di atas sudah diambil perhatian bagaimana saya tahu yang kanak-kanak tersebut  serasi dengan taska saya atau tidak?

1. Serasi
Sekiranya selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak datang ke taska tanpa menangis, trauma dan ceria setelah dilepaskan daripada tangan ibunya. Maka saya kira kanak-kanak itu serasi dengan taska saya.

2. Tidak serasi
Selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak tersebut masih menangis sewaktu di hantar ke taska. Wajahnya kelihatan trauma saat melihat kawasan taska. Tidur malamnya terganggu.

Jika ada tanda-tanda sebegini mungkin ada 'something wrong' di situ. Sama ada dari pihak saya atau pihak ibu bapa atau anak itu sendiri.

Seboleh-bolehnya saya akan elakkan menjaga kanak-kanak yang tak serasi di taska saya. Saya tak mahu mengambil risiko tersebut. Tangisan bayi dan kanak-kanak yang berpanjangan boleh membingitkan telinga kita yang mendengarnya. Bayangkan jika kanak-kanak yang dihantar menangis tidak berhenti dari datang sampailah waktu hendak balik. Pengasuh tidak boleh buat apa selain terpaksa menemaninya setiap masa. Hendak ke tandas pun susah. Sudah tentu keadaan ini boleh mendatangkan stres. Jika tidak ditangani dengan baik dikhuatiri pengasuh boleh hilang sabar. Kanak-kanak pula yang menjadi mangsa dera tanpa sengaja. 

Ketahuilah ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak perlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, persekitaran baharu, kawan-kawan baharu dan orang dewasa yang baharu dalam fasa hidup mereka. Jangan paksa kanak-kanak untuk terima semua keadaan tersebut tanpa menyelidik apa puncanya.

Tapi ada juga setengah kes di mana anak ok, ibu bapa yang melebih-lebih. 'Over ptotective' bak kata orang putih. Jika demikian saya lebih rela mengundur diri. Tak mahu semakkan kepala. Tak mahu susahkan tugas pengasuh saya yang lain. Maka ambillah anak anda untuk dijaga sendiri atau orang lain.

Harap tip ini dapat membantu ibu bapa di luar sana.  

Tuesday, November 13, 2018

Kasih Sayang Abang Dan Adik

Ahad sebulan yang lalu. Saya dan suami hantar Abang Zairi, anak saya yang pertama balik ke asramanya semula. Hanya Aniq, adiknya yang kecil sahaja yang ikut.

Tiga orang lagi anak saya yang perempuan tidak mahu ikut. Mereka hendak duduk rumah sahaja. Yalah, budak semakin dewasa begitulah. Malas nak ikut ibu ayah pergi jalan ke mana-mana. Tak macam kita dahulu. Terpaksa juga ikut lebih-lebih lagi kalau bertandang semasa hari raya atau ada kenduri. Teringat mak kata itulah masa nak kenal dengan sedara mara. Kalau tak bila lagi?

Sebelum berangkat tadi ayahnya sudah masakkan nasi dan lauk siap-siap untuk makan tengah hari mereka. Kami dijangka akan sampai rumah semula selepas pukul 2.00 petang. Tak kan nak tinggalkan anak berlapar,kan? Walaupun yang nombor dua itu dah boleh goreng telur dan mi segera sendiri tetap kami tak benarkan dia masak masa kami tak ada di rumah. Berkali-kali pesan pada dia kunci pintu rumah, jangan keluar ke mana-mana, jangan buka pintu pagar kalau ada orang ketuk, jangan main api gas. Bahaya. Apa-apa hal telefon ayah atau ibu segera. (Jadi mak-mak memang macam itulah banyak pesanan penaja).

Berbalik kepada cerita Abang Zairi dan Aniq tadi.

Seperti biasa sebelum berpisah mesti ada acara salam, cium pipi dan peluk doa. Boleh pula budak kecil ni main-main masa salam dengan abang dia. Saya perhatikan sahaja gelagat mereka berdua.



Selepas salam Aniq tak mahu dicium Abang Zairi. Aniq nak gigit pipi abang.
Aniq tak mahu Abang Zairi cium pipinya.
Bukan main lagi Aniq mengelak masa abang cuba nak cium pipinya.

Akhirnya Abang Zairi dapat juga cium dan peluk Aniq.

"Ya Allah, peliharakanlah mereka berdua untuk saya. Mereka inilah yang akan jadi perhiasan saya di dunia dan di akhirat kelak." 

Lawatan Pelajar UPSI Ke Taska

Terima tetamu istimewa lagi hari ini.

Enam orang pelajar dari Fakuliti Pembangunan Manusia, Universiti Sultan Azlan Shah (UPSI), Perak. Pengkhususan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Kesemua mereka baru semester satu. Masih ada berbaki tujuh semester sebelum tamatkan pengajian.

Simpati juga tengok student datang dari jauh-jauh ini. Seawal 6.30 pagi dah terpacak di Stesyen Komuter Tanjung Malim tunggu komuter. Selepas itu mereka ambil Grab ke taska saya. Tiba taska saya pukul 10.00 pagi. Selepas beri taklimat ringkas kepada mereka terus saya arahkan mereka join aktiviti bersama dengan kanak-kanak taska. Hari ini kanak-kanak taska saya ada 'nature walk' ke taman permainan. 

Pukul 12.30 tengah hari baru selesai semuanya.

"Lepas ni terus balik UPSI ke?" Tanya saya sewaktu menemani mereka menunggu abang grab sampai.

"Emm... taklah. Kami nak pergi Aeon Rawang," jawab salah seorang daripada mereka.

"Nak jalan-jalan kejap. Nanti balik Tanjung Malim tak ada apa. Mall tak ada. Ada hutan aje..." sampuk seorang lagi kawannya.

Alahai... kesiannya saya dengar. Tapi betul juga, kan. Kata orang sudah alang-alang sampai sini. Tak pergi nanti menyesal pula. Saya syak mereka nak tengok wayang Paskal. 

Petang tadi saya whatsapp seorang dari mereka. Tanya dah sampai UPSI ke belum. Dia jawab dah sampai. Lega saya mendengarnya. Walaupun mereka bukan anak-anak saya, risau juga dengan keselamatan mereka. Maklumlah semuanya anak dara.

Bagi saya anak lelaki atau perempuan yang meniti zaman remaja sama sahaja pantauan untuk mereka. Mereka tak suka dikongkong. Tapi sekali sekala ibu bapa kena juga tarik tali layang-layang yang terbang melayang-layang di udara. Bukan apa sekadar 'peringatan' agar mereka tak jauh tersasar dari landasan.

Inilah pelajar UPSI yang buat lawatan ke taska saya. Semuanya muda remaja. 

Lawatan Pelajar UNISEL Ke Taska

Petang tadi taska saya menerima tetamu istimewa. 6 orang pelajar UNISEL dari Fakuliti Pendidikan Awal Kanak-kanak. Selepas 1 jam membuat pemerhatian tingkah laku kanak-kanak di taska saya urusan mereka pun selesai. Saya pun bergegas nak balik rumah. Hendak masak makan malam untuk keluarga pula.

"Puan, kita ambil gambar dulu boleh?"


"Gambar taska saya ke gambar saya seorang?"

"Kita tangkap gambar ramai-ramai."

"Oh, boleh. Boleh. Tak ada masalah. Jomlah." Saya menyuruh mereka berdiri sebaris sebelah menyebelah.

Klik. Gambar pertama diambil daripada henpon salah seorang daripada mereka.

Tukang bidik gambar tunjukkan gambar pada saya.
Alahai, semuanya tegak sahaja. Nak senyum pun takut-takut.

"Ish, nampak skema je semuanya," fikir saya. "Kita ambil lagi sekalilah. Guna henpon saya pula." 

Masing-masing akur.

"Ok, free style!" Jerit saya sambil membuat gaya James Bond.

Mereka terus bertindak mengikut arahan. Tak ubah macam kelakuan kanak-kanak taska saya apabila saya cakap nak ambil gambar mereka.

Selesai semuanya mereka bersalam dan mengucapkan terima kasih pada saya.

"Nanti kalau nak buat praktikum taska bolehlah mohon di taska ini," pelawa saya.

"Insya-Allah, puan. Tahun depan kami ada praktikal taska."

Balik rumah saya belek-belek gambar yang diambil petang tadi. Tapi saya lebih suka gambar yang kedua ini.

Wah, mentang-mentanglah saya dah bagi 'green light' bukan main lagi gaya mereka. Tak nak kalah dengan saya.

Bukan apa, kata nak jadi cikgu taska,kan? Kita akan berhadapan dengan makhluk paling comel di dunia. Tapi dalam masa yang sama emosi mereka turun naik juga macam cuaca. Tak boleh dijangka tapi boleh diramal. Tiba angin puting beliung mereka tak kanlah kita pun nak tunjuk kuasa kilat yang kita ada. Kena siapkan fizikal dan mental kita supaya kita sentiasa bersedia dengan apa jua situasi yang datang dari makhluk paling comel ini.  

Me Time Dengan Anak-anak (part 2)

Hari itu dah ber'me time' dengan anak-anak di luar.

Hari ini saya ber'me time' dengan anak-anak di rumah pula.

Caranya;

1. Pastikan suami ada kerja di luar seorang.


2. Saya terpaksa tinggal dengan anak-anak saja di rumah.

3. Tanya suami dia balik rumah pukul berapa. (Kalau dia kata balik petang atau malam dapatlah kita ber'me time' lama sikit di rumah.)

4. Setelah suami pergi barulah saya ber'me time'.

5. Antara cara me time saya di rumah adalah;
- tak payah masak tengah hari.
- masak menu ringkas atau menu yang kita suka tapi suami tak berapa nak suka.
- beli saja makanan kat luar makan di rumah kalau malas sangat nak masak.
- biarkan anak buat sepah sesuka hati. Tak perlu marah-marah.
- tak endahkan kain baju yang menggunung tak berlipat
- basuh baju tapi tak perlu rushing nak sidai.
- buat kerja saya yang tertangguh tanpa rasa bersalah. Contohnya check almari baju anak-anak. Tengok bil dan surat-surat yang sampai, buat bayaran secara on-line, siapkan kerja menulis yang tertangguh, update FB dan seumpamanya.
- kemas dapur ala kadar.
- pinggan mangkuk kotor transit kat singki dulu
- bermalas-malasan atas katil
- tidur tanpa gangguan (tapi kena pesan dengan yang besar tengok adik-adik. Jangan bagi main kat  toilet dan dapur-kawasan larangan.)
- kalau nak suruh anak buat latihan masa nilah paling sesuai.(kalau ada ayah diaorang lagi ngada-ngada. Tak boleh kena tegur sikit.)

Hah, macam inilah keadaan rumah masa saya ber'me time' dengan anak-anak. "Rumah ini ana yang punya."

6. Sementara itu keluarkan ayam/ikan/ daging yang nak dimasak. Tujuannya supaya senang nak masak nanti sebab dah lembut. 

7. Tapi kena pastikan, anggarkan masa 30 minit sebelum suami balik;
- dah get ready kemas rumah
- sapu sampah, susun barang yang berterabur, kain baju yang menggunung at least dah susut sedikit, atas meja tak de barang yang tak perlu.
- masak nasi dan lauk pauk untuk makan malam dan siapkan terus atas meja makan.
- anak-anak yang kecil dah dimandikan. Pakaikan baju elok-elok. Letak bedak wangi-wangi.
- saya pun dah mandi siap-siap dan terurus.

8. Mesti apabila suami balik hati dia tenang bila tengok semuanya under controlled.
Smart,kan?

Keadaan rumah selepas habis masa 'me time'. Kembali ke asal. Teringat kisah "Puss in The House"
Jadi siapa kata orang perempuan anak ramai tak boleh ber'me time' di rumah 

Me Time Dengan Anak-Anak (part 1)

Hujung minggu buat apa?

Saya tengah ber'me time' dengan anak-anak. Bukan selalu dapat kumpul dengan lima permata hati ni serentak. Masa inilah nak tau hebat tak hebat seorang ibu menguruskan anak pelbagai kategori umur jalan bersama.

Petuanya mana yang besar saya suruh pimpin tangan adik dia yang kecil sikit. Yang kecil saya pimpin sendiri. Kadang-kadang dia nak berdukung. Kalau saya rasa penat saya suruh abang dengan kakak dia dukung gilir-gilir. Yang penting jalan bersama.

Semua kena dengar cakap ibu. Ibu kata kita pergi sini dulu. Ikut. Lepas pergi sini kita pergi sana. Ikut. Tak boleh membantah. Agak-agak ada yang nak buat perangai kita acah-acah nak tinggalkan. Tak jadi dia nak buat perangai.

Selalunya pergi mall saya prefer pergi cari barang dulu. Dah siap cari barang baru ajak diaorang makan. Masa makan baru sembang. Anak-anak nak cerita apa ceritalah. Saya buka telinga jadi pendengar cerita diaorang.

Berbuallah dengan anak kita yang sudah remaja macam kawan-kawan.

Lepas itu selitlah sikit-sikit nasihat sebagai panduan.

Dah selesai makan terus balik rumah.

Oh, ni gambar tiga minggu lepas.

Monday, November 12, 2018

Tips Cari Pengasuh Di Rumah

Tengah hari tadi dapat satu panggilan telefon dari seorang lelaki. Dia bertanyakan taska saya di mana. Nak menghantar 3 orang anaknya ke taska saya. Anaknya 5 tahun, 2 tahun dan 8 bulan.

Saya tanya dia tinggal dan kerja di mana. Katanya tinggal di Sungai Choh. Kerja di Bukit Sentosa.

Allah. Jauh tu dari rumahnya nak ke taska saya. Kena ke taska saya dahulu kemudian berpatah balik ke tempat kerja. Tak berbaloi masa dan wang jika dia nak menghantar anak ke taska saya.


Saya tanya lagi tak adakah taska berhampiran tempat tinggalnya. Dia kata tak nampak pula. Macam tak ada. Google pun cuma keluar nama taska saya.

Jadi saya cadangkan solusi kepadanya;
1. Jika dah tak ada taska di situ hantarlah anak-anaknya ke rumah pengasuh yang dekat-dekat dengan kawasan rumahnya. Cuba tanyakan jiran-jiran sama ada mereka kenal atau tak orang yang mengasuh anak di rumah. Mesti ada.

2. Cuma sebelum hantar ke pengasuh di rumah rajin-rajinlah semak di portal JKM. Tengok senarai taska rumah yang berdaftar dengan JKM.
Untuk makluman ibu bapa/penjaga, sekarang ini JKM memang wajibkan semua pengasuh di rumah berdaftar dengan mereka. Maknanya sebelum dibenarkan jaga anak orang lain mereka perlu ambil Kursus Asuhan Kanak-kanak Di Rumah. Kanak-kanak yang dijaga pun kurang daripada 10 orang dalam satu masa. Kena ada jadual aktiviti dan menu untuk kanak-kanak yang dijaga.
"Puan, macam mana kalau pengasuh tak ada sijil tu?" tanyanya.
Jika pengasuh tersebut tak ada sijil itu tak apa.


3. Tapi ibu bapa/penjaga kena rajin-rajinlah datang ke rumah pengasuh pada waktu-waktu selain waktu balik sahaja. Contohnya pukul 10 pagi atau pukul 2 petang.
Sekurang-kurangnya kita tahu apa aktiviti anak kita pada waktu tersebut. Dapatlah kita pantau sendiri keadaan anak dan pengasuh anak kita. Jika rasa puas hati teruskan. Jika tidak, mungkin itu satu petanda. Cepat-cepat fikirkan alternatif tempat lain untuk anak.


Status ini ditulis bukan nak kata pengasuh rumah tak bagus. Akhir-akhir ini banyak kes yang tak diingini berlaku kepada kanak-kanak yang duduk dengan pengasuh di rumah. Sebagai ibu bapa prihatin kita kenalah beringat dan peka. Malang tak berbau. Cegah sebelum parah. Kesedaran dan kepekaan ibu bapa mampu mencegah anak jadi mangsa.

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan selamat berkenalan.

Ini entri saya yang pertama di blog.

Sebelum itu saya nak kenalkan serba sedikit mengenai diri saya. Nama penuh Suhana Salleh. Asal Muar, Johor. Sudah berkahwin dan ada lima orang anak. Kini bermastautin di Rawang, Selangor. Dahulu saya bekerja makan gaji. Sekarang sudah lebih 10 tahun bekerja sendiri. Dunia saya sekarang  lebih banyak berkisar kepada kanak-kanak. Kanak-kanak paling kecil ialah bayi seawal dua bulan. Paling besar 12 tahun.

Dahulu ramai orang pertikaikan keputusan saya berhenti kerja. Belajar tinggi-tinggi duduk rumah jaga anak sahajakah? Tak sayangkah tinggalkan kerja pejabat itu? Gaji dah besar,kan? Tak kasihankan mak abah yang dah berhabis banyak duit suruh belajar? Kalau setakat duduk rumah tak payahlah dahulu susah-susah belajar sampai universiti. Setakat jaga anak sendiri dengan anak orang budak SPM pun boleh buat.

Aduh, pedih hati dan berasap telinga juga saya pada awalnya. 

Tapi itulah saya. Dari kecil keras hati dan suka melawan. Saya percaya keputusan yang saya ambil ini bukan sia-sia. Mereka yang tak duduk di kasut saya mungkin fikir ini tindakan paling bodoh. Merugikan diri sendiri. Tak mengapalah kerana saya yakin setiap kesusahan yang dialami pasti ada kesenangan selepasnya. 

Saya sentiasa pegang pada doa yang dibaca selepas istikharah. Tak semua yang kita suka baik untuk kita. Tak semua yang kita tak suka tak baik untuk kita. Suka atau tidak keredhaan Allah yang lebih utama.

Awal-awal dahulu, saya rindu juga dengan zaman dapat gaji setiap bulan. Tapi semua itu dah berakhir. Tinggal kenangan. Saya lebih gembira dengan kerja saya sekarang. 

Walaupun kerja sendiri saya masih ada masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya memang suka membaca sejak kecil. Saya juga suka menulis selain bercucuk tanam dan travel. Kononnya dahulu saya berangan-angan nak mengembara keliling dunia. Tapi sejenis penakut juga nak keluar sendiri. 

Banyak pula yang saya cerita pasal diri saya sendiri. Ada masa nanti saya kongsikan lagi catatan, perjalanan dan pengalaman yang ada. Rajin-rajinlah tinggalkan jejak anda di ruangan komen. 

Sehingga bertemu lagi di lain kali.
Suhana Salleh.