Assalamualaikum dan selamat berkenalan.
Ini entri saya yang pertama di blog.
Sebelum itu saya nak kenalkan serba sedikit mengenai diri saya. Nama penuh Suhana Salleh. Asal Muar, Johor. Sudah berkahwin dan ada lima orang anak. Kini bermastautin di Rawang, Selangor. Dahulu saya bekerja makan gaji. Sekarang sudah lebih 10 tahun bekerja sendiri. Dunia saya sekarang lebih banyak berkisar kepada kanak-kanak. Kanak-kanak paling kecil ialah bayi seawal dua bulan. Paling besar 12 tahun.
Dahulu ramai orang pertikaikan keputusan saya berhenti kerja. Belajar tinggi-tinggi duduk rumah jaga anak sahajakah? Tak sayangkah tinggalkan kerja pejabat itu? Gaji dah besar,kan? Tak kasihankan mak abah yang dah berhabis banyak duit suruh belajar? Kalau setakat duduk rumah tak payahlah dahulu susah-susah belajar sampai universiti. Setakat jaga anak sendiri dengan anak orang budak SPM pun boleh buat.
Aduh, pedih hati dan berasap telinga juga saya pada awalnya.
Tapi itulah saya. Dari kecil keras hati dan suka melawan. Saya percaya keputusan yang saya ambil ini bukan sia-sia. Mereka yang tak duduk di kasut saya mungkin fikir ini tindakan paling bodoh. Merugikan diri sendiri. Tak mengapalah kerana saya yakin setiap kesusahan yang dialami pasti ada kesenangan selepasnya.
Saya sentiasa pegang pada doa yang dibaca selepas istikharah. Tak semua yang kita suka baik untuk kita. Tak semua yang kita tak suka tak baik untuk kita. Suka atau tidak keredhaan Allah yang lebih utama.
Awal-awal dahulu, saya rindu juga dengan zaman dapat gaji setiap bulan. Tapi semua itu dah berakhir. Tinggal kenangan. Saya lebih gembira dengan kerja saya sekarang.
Walaupun kerja sendiri saya masih ada masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya memang suka membaca sejak kecil. Saya juga suka menulis selain bercucuk tanam dan travel. Kononnya dahulu saya berangan-angan nak mengembara keliling dunia. Tapi sejenis penakut juga nak keluar sendiri.
Banyak pula yang saya cerita pasal diri saya sendiri. Ada masa nanti saya kongsikan lagi catatan, perjalanan dan pengalaman yang ada. Rajin-rajinlah tinggalkan jejak anda di ruangan komen.
Sehingga bertemu lagi di lain kali.
Suhana Salleh.
No comments:
Post a Comment