Tuesday, November 13, 2018

Me Time Dengan Anak-Anak (part 1)

Hujung minggu buat apa?

Saya tengah ber'me time' dengan anak-anak. Bukan selalu dapat kumpul dengan lima permata hati ni serentak. Masa inilah nak tau hebat tak hebat seorang ibu menguruskan anak pelbagai kategori umur jalan bersama.

Petuanya mana yang besar saya suruh pimpin tangan adik dia yang kecil sikit. Yang kecil saya pimpin sendiri. Kadang-kadang dia nak berdukung. Kalau saya rasa penat saya suruh abang dengan kakak dia dukung gilir-gilir. Yang penting jalan bersama.

Semua kena dengar cakap ibu. Ibu kata kita pergi sini dulu. Ikut. Lepas pergi sini kita pergi sana. Ikut. Tak boleh membantah. Agak-agak ada yang nak buat perangai kita acah-acah nak tinggalkan. Tak jadi dia nak buat perangai.

Selalunya pergi mall saya prefer pergi cari barang dulu. Dah siap cari barang baru ajak diaorang makan. Masa makan baru sembang. Anak-anak nak cerita apa ceritalah. Saya buka telinga jadi pendengar cerita diaorang.

Berbuallah dengan anak kita yang sudah remaja macam kawan-kawan.

Lepas itu selitlah sikit-sikit nasihat sebagai panduan.

Dah selesai makan terus balik rumah.

Oh, ni gambar tiga minggu lepas.

Monday, November 12, 2018

Tips Cari Pengasuh Di Rumah

Tengah hari tadi dapat satu panggilan telefon dari seorang lelaki. Dia bertanyakan taska saya di mana. Nak menghantar 3 orang anaknya ke taska saya. Anaknya 5 tahun, 2 tahun dan 8 bulan.

Saya tanya dia tinggal dan kerja di mana. Katanya tinggal di Sungai Choh. Kerja di Bukit Sentosa.

Allah. Jauh tu dari rumahnya nak ke taska saya. Kena ke taska saya dahulu kemudian berpatah balik ke tempat kerja. Tak berbaloi masa dan wang jika dia nak menghantar anak ke taska saya.


Saya tanya lagi tak adakah taska berhampiran tempat tinggalnya. Dia kata tak nampak pula. Macam tak ada. Google pun cuma keluar nama taska saya.

Jadi saya cadangkan solusi kepadanya;
1. Jika dah tak ada taska di situ hantarlah anak-anaknya ke rumah pengasuh yang dekat-dekat dengan kawasan rumahnya. Cuba tanyakan jiran-jiran sama ada mereka kenal atau tak orang yang mengasuh anak di rumah. Mesti ada.

2. Cuma sebelum hantar ke pengasuh di rumah rajin-rajinlah semak di portal JKM. Tengok senarai taska rumah yang berdaftar dengan JKM.
Untuk makluman ibu bapa/penjaga, sekarang ini JKM memang wajibkan semua pengasuh di rumah berdaftar dengan mereka. Maknanya sebelum dibenarkan jaga anak orang lain mereka perlu ambil Kursus Asuhan Kanak-kanak Di Rumah. Kanak-kanak yang dijaga pun kurang daripada 10 orang dalam satu masa. Kena ada jadual aktiviti dan menu untuk kanak-kanak yang dijaga.
"Puan, macam mana kalau pengasuh tak ada sijil tu?" tanyanya.
Jika pengasuh tersebut tak ada sijil itu tak apa.


3. Tapi ibu bapa/penjaga kena rajin-rajinlah datang ke rumah pengasuh pada waktu-waktu selain waktu balik sahaja. Contohnya pukul 10 pagi atau pukul 2 petang.
Sekurang-kurangnya kita tahu apa aktiviti anak kita pada waktu tersebut. Dapatlah kita pantau sendiri keadaan anak dan pengasuh anak kita. Jika rasa puas hati teruskan. Jika tidak, mungkin itu satu petanda. Cepat-cepat fikirkan alternatif tempat lain untuk anak.


Status ini ditulis bukan nak kata pengasuh rumah tak bagus. Akhir-akhir ini banyak kes yang tak diingini berlaku kepada kanak-kanak yang duduk dengan pengasuh di rumah. Sebagai ibu bapa prihatin kita kenalah beringat dan peka. Malang tak berbau. Cegah sebelum parah. Kesedaran dan kepekaan ibu bapa mampu mencegah anak jadi mangsa.

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan selamat berkenalan.

Ini entri saya yang pertama di blog.

Sebelum itu saya nak kenalkan serba sedikit mengenai diri saya. Nama penuh Suhana Salleh. Asal Muar, Johor. Sudah berkahwin dan ada lima orang anak. Kini bermastautin di Rawang, Selangor. Dahulu saya bekerja makan gaji. Sekarang sudah lebih 10 tahun bekerja sendiri. Dunia saya sekarang  lebih banyak berkisar kepada kanak-kanak. Kanak-kanak paling kecil ialah bayi seawal dua bulan. Paling besar 12 tahun.

Dahulu ramai orang pertikaikan keputusan saya berhenti kerja. Belajar tinggi-tinggi duduk rumah jaga anak sahajakah? Tak sayangkah tinggalkan kerja pejabat itu? Gaji dah besar,kan? Tak kasihankan mak abah yang dah berhabis banyak duit suruh belajar? Kalau setakat duduk rumah tak payahlah dahulu susah-susah belajar sampai universiti. Setakat jaga anak sendiri dengan anak orang budak SPM pun boleh buat.

Aduh, pedih hati dan berasap telinga juga saya pada awalnya. 

Tapi itulah saya. Dari kecil keras hati dan suka melawan. Saya percaya keputusan yang saya ambil ini bukan sia-sia. Mereka yang tak duduk di kasut saya mungkin fikir ini tindakan paling bodoh. Merugikan diri sendiri. Tak mengapalah kerana saya yakin setiap kesusahan yang dialami pasti ada kesenangan selepasnya. 

Saya sentiasa pegang pada doa yang dibaca selepas istikharah. Tak semua yang kita suka baik untuk kita. Tak semua yang kita tak suka tak baik untuk kita. Suka atau tidak keredhaan Allah yang lebih utama.

Awal-awal dahulu, saya rindu juga dengan zaman dapat gaji setiap bulan. Tapi semua itu dah berakhir. Tinggal kenangan. Saya lebih gembira dengan kerja saya sekarang. 

Walaupun kerja sendiri saya masih ada masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya memang suka membaca sejak kecil. Saya juga suka menulis selain bercucuk tanam dan travel. Kononnya dahulu saya berangan-angan nak mengembara keliling dunia. Tapi sejenis penakut juga nak keluar sendiri. 

Banyak pula yang saya cerita pasal diri saya sendiri. Ada masa nanti saya kongsikan lagi catatan, perjalanan dan pengalaman yang ada. Rajin-rajinlah tinggalkan jejak anda di ruangan komen. 

Sehingga bertemu lagi di lain kali.
Suhana Salleh.